‘Datuk’ disyaki dalang seludup diesel lebih setengah juta

0
464

SEORANG lelaki bergelar Datuk ditahan selepas disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan membabitkan 95,000 liter diesel bernilai RM522,500.

Lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan susulan operasi khas dijalankan Polis Johor dan Bukit Aman di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Masai di sini, 11 malam semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi itu seramai 28 individu termasuk seorang lelaki warga asing berusia 22 hingga 46 tahun diberkas.

“Polis Johor berjaya menumpas satu sindiket penyeludupan minyak diesel yang dipercayai terbesar setakat ini hasil serbuan khas yang dijalankan malam tadi.

“Hasil operasi, pihak kita berjaya merampas 95,000 liter bernilai RM522,500 minyak diesel selain 27 buah lori serta wang tunai RM12,507 dan nilai keseluruhan rampas adalah RM3.01 juta,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!

Kamarul Zaman berkata, hasil maklumat risikan juga mendapati sindiket ini baharu sahaja beroperasi sejak sebulan lalu.

Jelasnya, modus operandi yang digunakan sindiket adalah mengubah suai pelbagai jenis lori termasuk lori pasir 10 tan.

Sindiket memasang tangki simpanan yang ditutup dengan kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Tangki ini diubah suai, mereka pasang letak di bahagian belakang lori, mereka juga licik pasang pam dekat tangki minyak lori, minyak mereka isi masuk tangki biasa.

“Dari tangki lori itu mereka pasang paip untuk disalurkan ke dalam tangki,”katanya.

Beliau menambah, sindiket membeli minyak diesel bersudsidi dengan harga RM2.05 satu liter di stesen-stesen minyak sekitar Johor Bahru.

Mereka kemudiannya membawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum diseludup ke negara jiran.

“Sindiket ini disyaki menggunakan laluan laut untuk menyeledup diesel berkenaan.

“Polis percaya masih ada saki-baki sindiket yang masih bebas, kita akan kesan mereka. Kita akan siasat sama ada pihak berkuasa yang menjadi pembelot dalam aktiviti penyeludupan ini,”katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here