[VIDEO] Harga barang naik, ada rakyat ‘ikat perut’ – Tinjauan

0
468

KENAIKAN harga barangan keperluan harian menyebabkan rakyat kini perlu berhati-hati dalam perbelanjaan.

Bukan itu sahaja, ada orang ramai yang ditemui SatuBerita dalam tinjauan baru-baru ini mengakui mereka perlu ‘ikat perut’.

Pesara tentera, Yaacob Muhammad, 77, berkata, peningkatan kos sara hidup menghimpitnya sehingga terpaksa ‘mengikat perut’ bagi mengurangkan kos perbelanjaan harian.

“Bagi golongan yang berpendapatan tinggi, kira okay, saya dah nak masuk 80 tahun, golongan B40, memang terasa.

“Dulu saya tak kisah, tak siasat (harga barangan) pun, beli sahaja, tetapi sekarang kena tengok dahulu,” katanya.

Bagi Razman Sahar, 54, masalah kenaikan harga keperluan asas perlu diberikan pandangan sewajarnya apabila perkara ini kerap berlaku sehingga berada di tahap yang membebankan orang ramai.

“Harga naik bukan sahaja setiap tahun, tapi dah sampai setiap bulan. Apa sebab? Jadi kenalah mereka jelaskan dekat rakyat kenapa naik sehingga begini.

“Kita ni rakyat, jadi itulah, kita kena fikir sama-sama dan harap-harap ‘dia’ dengar. Kesian anak-anak muda pada masa hadapan,” katanya.

Seorang ibu tunggal, Patma Krishnan, 54 juga meluahkan kesukaran untuknya menampung perbelanjaan harian keluarga.

Katanya, meskipun ada kenaikan gaji minimum kepada RM1,500, perkara ini seakan tidak memberi kelegaan kepada rakyat apabila harga barang keperluan berada di tahap yang tidak terkawal.

“Sekarang harga sayur pun sekilogram RM11.99, minyak sudah naik, beras sudah naik, gula sudah naik, semua dah naik harga,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here