FB PM jadi sasaran orang ramai kritik keadaan padang Stadium Bukit Jalil

0
577

KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang teruk menjadi bualan orang ramai selepas kekalahan pasukan Malaysia kepada Bahrain 2-1 malam tadi.

Majoriti pengguna media sosial Facebook (FB) membanjiri ruang komen akaun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan meluahkan rasa kecewa melihat keadaan padang yang dipenuhi air selain berselut.

Selain itu, turut dikongsi warga media sosial petugas stadium yang terpaksa menggunakan penyodok untuk mengeluarkan air hujan yang bertakung di atas padang susulan hujan lebat melanda sekitar Lembah Klang pada petang semalam, lapor portal Agenda Daily.

“YAB PM tolong upgrade padang SBNJ segera,” kata seorang pengguna akaun FB bernama Zuan Azmi.

“YAB PM, nampaknya tiada peruntukan untuk buang air hujan daripada padang,” kata seorang lagi pengguna FB bernama Muhammad Rafiq Md Zaid.

Selain itu, pengguna Facebook juga mempersoalkan berhubung peruntukan yang disalurkan kepada pihak pengurusan stadium tetapi keadaan padang masih teruk.

“Kenapa padang itu selenggara macam padang sekolah. Mohon siasat peruntukan,” kata Mohd Aziz.

Semua komen tersebut dihantar dalam ruang komen akaun FB Ismail Sabri.

Untuk rekod, Ismail Sabri juga hadir menonton perlawanan Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Bahrain.

Jaringan sepakan penalti pemain gantian Abdulla Yusuf Helal pada penghujung perlawanan memusnahkan impian Malaysia mencipta kejutan ke atas Bahrain.

Pada aksi di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu, Helal menjaringkan gol kemenangan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 yang diberikan pengadil dari Tajikistan Sadullo Gulmurodi selepas penjaga gol Mohd Farizal Marlias menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam kotak penalti.

Terdahulu, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh membuka tirai jaringan buat Malaysia pada minit ke-55 sebelum Ali Abdulla Haram menyamakan kedudukan buat Bahrain dua minit berselang.

Beraksi di depan lebih 63,000 penyokong, Malaysia ternyata lebih mendominasi 45 minit pertama permainan dengan beberapa siri serangan sementara benteng pertahanan Bahrain bekerja keras menyerap asakan demi asakan skuad Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menzahirkan rasa bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemain Harimau Malaya pada perlawanan menentang Bahrain.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata kalah menang itu adat pertandingan dan skuad kendalian Kim Pan Gon perlu terus berjuang untuk perlawanan seterusnya.

“Buat para pemain, ini bukan pengakhiran tetapi peluang untuk kita buat lebih baik selepas ini. Ayuh bangkit!” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here