KPM ada garis panduan laksana PBD selepas mansuh PT3

0
211

KEMENTERIAN Pendidikan KPM) mempunyai garis panduan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) susulan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula tahun ini, kata Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.

Beliau berkata, pelaksanaan berkenaan bukanlah perkara baharu malah sudah bermula sejak dulu lagi namun kurang diberi perhatian.

“Di peringkat sekolah rendah, PBD sudah dilaksanakan pada 2011 manakala di peringkat sekolah menengah bermula pada 2012. Dalam konteks pelaksanaan PBD itu, KPM sendiri mempunyai garis panduan terkini iaitu versi 2019.

“Namun begitu, apabila kita lihat tumpuan diberikan kepada peperiksaan khusus, maka PBD ini tidak diberi perhatian yang mendalam.

“Walau bagaimanapun, dalam konteks pelaksanaan PBD ini, kita sedar ada yang mengatakan jumlah kelas atau murid yang terlalu ramai namun dalam konteks pendidikan, kita ada kaedah-kaedah atau inovasi berkaitan yang boleh diguna pakai termasuk dalam jumlah pelajar yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Felda Digital Hub, Coding and Robotic, di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Lahad Datu, hari ini, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara komponen pentaksiran berterusan yang akan dilaksanakan KPM ialah latihan guru selain mengenal pasti pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi kekangan yang ada.

KPM juga katanya sedia menambah baik pelaksanaan PBD dengan mengambil kira maklum balas semua pihak termasuk penyediaan soalan peperiksaan standard seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.

“Ia bagi mengetahui apakah pencapaian anak-anak berdasarkan satu standard soalan yang diguna pakai di sekolah yang diperakui kualitinya oleh pihak kementerian,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rungutan ibu bapa yang terkesan dengan kenaikan kadar tambang bas sekolah beliau berkata perkara itu dalam bidang kuasa pihak Kementerian Pengangkutan namun bersedia mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here