[VIDEO] ‘Kami sudah ada chemistry’ – Din Search ulas prestasi Denden

0
848

KONSERT kumpulan lagenda rock tanah air, Search, diterajui oleh Kidd dan Din yang bakal berlangsung pada 11 Jun di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, menjanjikan pengalaman luar jangkaan buat peminat kumpulan tersebut.

Search yang diterajui oleh dua beradik itu kini diberi nafas baharu dengan kehadiran penyanyi dari negara seberang, Denden Gonjalez yang menjadi vokalis baharu kumpulan itu.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Konsert Search di Kompleks Campbell sarat kejutan

Ketika ditemui SatuBerita pada Jumaat, gitaris Search, Nordin Taib atau lebih mesra dikenali sebagai Din Search berkata, perkembangan bersama penyanyi kelahiran Indonesia itu amat memberangsangkan kerana minatnya terhadap Search.

“Setakat kami berlatih, kami telah mencipta satu ‘chemistry’ yang baik bersama Denden Gonjalez, dia seorang yang rendah diri, profesional, memberi kerjasama yang baik.

“Kami bekerja seperti sudah lama kenal, kami layan dia seperti ahli keluarga sendiri,” katanya.

Konsert yang dinamakan ‘Rockin’ On Rooftop’ itu juga dijangka bakal dipenuhi seramai 2,500 peminat yang sekian lama ingin melepaskan rindu mereka kepada kumpulan rock tersebut.

Pengalaman tersendiri itu akan dirasai peminat ekoran lokasi yang dipilih mereka adalah di atas bumbung bangunan Kompleks Campbell, selain suasana malam yang dikelilingi bangunan di ibu kota.

“Pengalaman memang unik, sebab berada di atas bumbung dan satu kelainan apabila dikelilingi oleh bangunan, ini satu benda yang baharu dengan suasana malam.

“Malah, pentas kita akan diubah suai, pengcahayaan, serta sistem bunyi yang dinaiktaraf. Kalau nak tahu, kena datang, dengar dan tengok,” katanya.

Baca cerita berkaitan: [VIDEO] Ella cukupkan ‘rencah’ konsert Rockin’ on Rooftop Search

Bukan sahaja bakal menyajikan pengalaman unik buat peminat, Din mengakui proses pembikinan konsert ini lebih mencabar berbanding konsert-konsert mereka sebelum ini.

“Oleh kerana konsert ini diadakan di atas bumbung, peralatan-peralatan tidak boleh dibawa masuk melalui pintu utama. Kita perlu cari alternatif lain.

“Segala peralatan yang kita bawa akan dinaikkan ke atas menggunakan kren. Kita akan pakai 8 kontena berisi peralatan dan kren akan membawa barang tersebut ke atas bumbung,” ujarnya.

Konsert yang bakal diadakan di bumbung bangunan penuh nostalgia itu sinonim dengan sejarah muzik rock, yang sering menjadi tempat pertemuan peminat genre tersebut sekitar tahun 1980-an. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here