‘Tuduhan saya ada sokongan majoriti tidak benar’ – Muhyidin

Hanya bincang rintis formula satu lawan satu menentang BN

0
374

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden Bersatu itu berkata, dakwaan berhubung perkara itu tidak benar dan apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan beliau dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti-parti pembangkang yang menemui saya selepas pilihan raya negeri Johor. Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.

“Ini kerana kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata- mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah,’’ katanya.

Susulan itu, kata Muhyiddin, beliau mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti-parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu.

“Inisiatif ini saya ambil setelah mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti,’’ katanya.

Beliau menegaskan, formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.

“Tujuan persefahaman ini adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN sepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, Electoral pact ini mesti diasaskan kepada satu agenda bersama (common agenda) untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang pada masa ini menguasai parti BN.

“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.

“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, saya mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan ini. Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini,’’ katanya.

Justeru katanya, beliau   mengambil sikap yang terbuka kerana ia sebahagian daripada proses perundingan antara parti yang berlangsung secara tidak rasmi.

“Pintu rundingan Bersatu sentiasa terbuka kepada parti-parti selain BN untuk mencapai kata sepakat mengenai formula yang terbaik bagi menghadapi PRU-15,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here