Ismail Sabri akan akur kepada tekanan BN adakan PRU-15 – Penganalisis

0
283

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan akur kepada tekanan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, Ismail akan berasa tertekan terutamanya jika Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi kata dua.

Fauzi berkata, Ismail Sabri akan dikekang oleh kesetiaan kepada parti dan kepentingan partisan.

“Saya melihat bahawa Perdana Menteri akhirnya akan tunduk kepada tuntutan daripada Barisan Nasional (BN) dan rakan seperjuangan UMNO kerana beliau bergantung kepada jentera gabungan itu untuk memastikannya dipilih semula dalam PRU15,” katanya kepada portal FMT.

Fauzi berkata, perjanjian Putrajaya dengan Pakatan Harapan (PH) akan “tamat” pada akhir bulan depan.

Beliau berkata, Ismail Sabri juga perlu mengimbangi kepelbagaian pendapat dalam Jemaah Menteri, yang sebahagiannya merupakan ahli Bersatu dan Pas.

“Adalah tidak wajar baginya untuk meninggalkan sekutu Perikatan Nasional (PN) sekarang sedangkan PN yang memberinya peluang untuk mempamerkan kebolehan kepimpinannya semasa tempoh wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Fauzi mengulas amaran Najib baru-baru ini mengenai risiko menangguhkan PRU15. Bekas perdana menteri itu berkata, ia boleh menyebabkan satu lagi kekalahan buat BN.

Selasa lalu, Ismail Sabri berkata, beliau akan “tunggu masa yang sesuai” untuk mengadakan pilihan raya. Beliau merujuk kepada masalah kenaikan harga barang dan kos sara hidup lain.

Mac lalu katanya, beliau tidak akan tergesa-gesa biarpun mendapat tekanan daripada Umno berikutan kemenangan memberangsangkan BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Seorang lagi penganalisis, James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, Ismail Sabri mungkin keberatan untuk mengadakan pilihan raya awal kerana bimbang tidak terpilih menjadi perdana menteri jika Umno menang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here