Annuar Musa akui ‘ingkar’ arahan Zahid Hamidi

0
544

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, mengakui bahawa dia tidak berdiri ketika diminta bangun oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tanda memberi sokongan agar pilihan raya umum (PRU) disegerakan.

Malah Menteri Komunimasi dan Multimedia itu mendakwa bukan dia saja yang terkejut dengan arahan berdiri tersebut.

“Saya perhatikan ramai terpinga- pinga. Ramai juga yang spontan berdiri, ada yang tunggu (dulu) nak tengok kawan berdiri atau tidak.

“Ada yang berdiri tapi memberitahu (sebenarnya) pendirian (mereka) berbeza. Biasalah dalam situasi yang begitu,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Bekas Setiausaha Agung BN itu menjelaskan, dia enggan mengikut kemahuan Ahmad Zahid bukanlah bermakna dia tidak setuju agar PRU diadakan secepat mungkin.

Katanya, dia hanya mahu PRU dibuat apabila BN benar-benar bersedia.

Annuar yang digugurkan daripada jawatannya oleh Ahmad Zahid pada 5 Jan 2021 seterusnya berkata, dia tidak perlu berdiri hanya kerana orang lain dilihat berdiri, atau bangun kerana segan apabila berbeza daripada orang lain.

“Pengalaman saya telah banyak menyaksikan yang didakwa yakin menang, akhirnya kalah; yang dikata ready (bersedia) sebenarnya belum ready, yang kononnya ada dana, kehabisan dana selepas beberapa hari kempen bermula; yang dikata ramai ‘putih’ akhirnya ‘hitam’ dan sebagainya,” tambah Annuar dalam satu hantaran di media sosialnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here