11 anggota kumpulan jenayah terancang ditahan Polis Pulau Pinang

0
425

POLIS Pulau Pinang menumpaskan kumpulan jenayah terancang disyaki aktif dalam kegiatan mengedar dadah, jenayah dan pemilikan senjata api selepas menahan 11 warga tempatan termasuk seorang warga emas dalam siri serbuan di sekitar negeri itu, 24 Mei lepas.

Menurut Ketua Polis Pula Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain, pasukannya bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri yang dibantu Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.

Operasi yang dilancarkan pada jam 12 tengah hari di bawah Op Cantas Tanjung III itu berjaya menahan sembilan lelaki dan dua wanita yang kesemuanya berumur di antara 29 hingga 61 tahun.

“Susulan penahanan mereka, pasukan bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Pulau Pinang pada 1 tengah hari, 26 Mei telah menyerbu sebuah kebun durian di Teluk Bahang, Georgetown.

“Pihak kami telah merampas dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan Beretta bersama 90 butir peluru hidup serta sebutir bom tangan yang disembunyikan kumpulan itu,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

Tambah Mohd Suhaily, senjata api yang dirampas telah dihantar untuk pemeriksaan lanjut serta ujian balistik untuk melihat sekiranya ada kaitan dengan mana-mana kes jenayah sebelum ini.

Pemeriksaan juga mendapati bom tangan yang ditemui masih aktif dan telah diletupkan di kawasan kebun terbabit yang terletak di atas bukit, kira-kira dua kilometre dari jalan besar.

Katanya lagi, kumpulan itu menjadikan kebun milik salah seorang daripada mereka sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis senjata api yang digunakan untuk tujuan penyeludupan dadah ke negara jiran serta melakukan aktiviti jenayah.

Selain itu, Mohd Suhaily berkata siasatan lanjut turut mendapati kumpulan tersebut diketuai seorang lelaki berusia 54 tahun yang telah ditahan Mac tahun lepas dan masih aktif menjalankan kerja-kerja penyeludupan dan pengedaran dadah meskipun masih berada di dalam penjara.

Kesemua 11 individu yang ditahan kini direman di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA selama 28 hari bermula 24 Mei hingga 21 Jun ini.

Menurutnya, mereka akan juga disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 130 V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang

“Polis percaya dengan penahanan 11 individu berkenaan kami telah berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang tersebut yang terdahulu pada Mac dan November lepas kami telah menahan empat lelaki termasuk ketuanya iaitu pengusaha sukan air di Batu Ferringhi itu.

“Secara keseluruhannya polis merampas enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru serta turut merampas 158 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.6 juta yang ada kaitan dengan kumpulan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here