[VIDEO] Terima kenyataan jawatan Zuraida kuota milik Bersatu – Faiz Na’aman

0
530

SEMUA pihak perlu menghormati dan menerima kenyataan bahawa kekosongan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi yang ditinggalkan Datuk Zuraida Kamaruddin selepas keluar daripada parti Bersatu, adalah kuota milik parti berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, tiada pihak boleh menyangkal bahawa jawatan berkenaan adalah kuota milik parti Bersatu sepertimana yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri bersama ketua parti-parti komponen kerajaan pimpinan beliau.

“Kita akui hak prerogatif untuk menyusun atur kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri. Tetapi ini adalah kerajaan yang dibentuk bersama dan adalah lazim untuk Perdana Menteri berunding dengan setiap ketua-ketua parti komponen yang membentuk kerajaan beliau.

“Apabila berlaku rundingan, wujudlah kuota. Maka, datang juga cadangan daripada ketua parti –parti komponen berhubung siapa yang boleh dipilih oleh Perdana Menteri bagi mewakili parti untuk mengisi sebarang jawatan dalam kabinet,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

Ekoran itu, semua pihak perlu menghormati kuota yang telah dipersetujui menerusi rundingan Perdana Menteri bersama ketua parti komponen ketika membentuk kerajaan Keluarga Malaysia.

“Kita tidak menafikan ia hak Perdana Menteri. Jika ikut kelaziman dan tertibnya, jawatan dalam kabinet adalah mengikut kuota yang telah dirunding oleh PM bersama ketua-ketua parti komponen. Namun, dalam kes ini kuota itu milik Bersatu. Seperti yang kita sedia maklum, Zuraida dipilih daripada kuota menteri daripada Bersatu.

“Perlu ditegaskan, tiada desakan daripada Bersatu. Siapa yang mendesak sekarang ini? Kami hanya nyatakan bahawa kekosongan Zuraida adalah asalnya kuota milik Bersatu. Ini cadangan, tiada siapa malah presiden juga tidak desak atau menekan Perdana Menteri untuk terima juga cadangan ini. Tiada,” ulasnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa seluruh Ahli MPT Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan pertimbangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menamakan calon baharu bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan serta rundingan bersama Perdana Menteri.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin pada 26 Mei lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri kabinet sambil menyatakan keputusan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan meninggalkan Bersatu.

Ekoran itu, Muhyiddin dilaporkan berkata partinya akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota kabinet berikutan ia adalah kuota parti itu.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here