Zuraida masih menteri Kabinet-PM

0
416

PERDAN Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Datuk Zuraida Kamaruddin masih menteri Kabinet dan kedudukannya akan ditentukan selepas mereka mengadakan pertemuan.

Kenyataan itu susulan peletakan jawatan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dibuat kelmarin untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Berita Harian hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Ampang itu memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

“Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya juga akan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” kata Zuraida dalam kenyataan itu.

Zuraida kini berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.

Beliau dijangka ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dan dijangka pulang ke tanah air pada 2 Jun ini.

Sebelum ini, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menjelaskan peletakan jawatan itu, beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri walaupun kini menyertai PBM.

Jelas Zuraida, ini kerana sokongan kepada kerajaan sekarang adalah selari dengan pendirian PBM.

Pada 22 Ogos 2020, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama Timbalan Presiden PKRDatuk Seri Mohamed Azmin Ali, seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak) mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu.

Semuanya menyatakan pendirian menyokong kepemimpinan Muhyiddin yang ketika itu sebagai Perdana Menteri dan mereka bersedia ditempatkan di 222 kerusi Parlimen dan lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here