Lelaki ditemukan maut dalam pacuan empat roda

0
206

SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah pacuan empat roda yang diparkir berhadapan premis perniagaan di Bandar Raub, Raub, semalam.

Mangsa, Liew Yoong Kuang, 47 tahun, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang melalui premis berkenaan sebelum bertindak mengetuk tingkap dan menggoyangkan kenderaan jenis Nissan Navara terbabit.

Kejadian itu disahkan Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir, lapor Astro Awani hari ini.

“Menyedari mangsa tidak memberi respons, orang awam bertindak menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan bagi membuka pintu pacuan empat roda yang terkunci.

“Sebaik menerima maklumat pada jam 9.47pagi, sepasukan lapan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Shahrulnizam berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dalam pacuan empat roda itu, dengan enjin kenderaan dimatikan.

Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membuka pintu kenderaan berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

“Setelah operasi membuka pintu berjaya dijalankan, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here