Sanusi sekali lagi cetuskan suasana ‘panas’ arena bola sepak

0
291

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mencetuskan suasana ‘panas’ arena bola sepak tempatan dalam satu kenyataan di media sosial menerusi akaun Facebook miliknya, pada Selasa.

Muhammad Sanusi mengeluarkan komen balas yang dipercayai terhadap kenyataan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim Tunku Ismail bahawa pasukan hebat seperti Kedah Darul Aman tidak memerlukan individu seperti Sanusi kerana beliau tidak mempunyai sebarang sumbangan terhadap bola sepak tanah air.

Paling mencuri perhatian netizen adalah mengenai pertanyaan Muhammad Sanusi di hujung kenyataan itu.

“Satu lagi nak tanya… pendrive lama tu hang pi taroh tang mana?,” tulisnya sambil disertakan dengan emoji ketawa.

Kenyataan Tunku Ismail dalam Instagram Story.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam Instagram Story turut mempersoalkan, bagaimana Kedah boleh melepaskan dua legenda mereka, yang dipercayai merujuk kepada pemergian Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ke Sabah.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan sama, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu menjawab mengenai keputusan skuad Kenari yang terpaksa melepaskan dua pemain senior mereka ke pasukan Sabah musim ini.

Tanpa menafikan dua pemain itu bagus dari segi permainannya, Muhammad Sanusi menjelaskan gaji mereka berdua boleh digunakan untuk membayar lima pemain baru yang tidak kurang hebatnya.

“Dalam keadaan pasukan yang baru saja berhempas pulas menyelesaikan hutang piutang lama berjumlah lebih 20 juta, faktor gaji pemain dan pembiayaan pasukan bola tentulah menjadi perhatian utama pada musim baru.

“Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan kita, gara-gara ‘setting’ orang kaya di pasukan lain yang mengiurkan semua pemain, sehingga kerajaan terpaksa campurtangan memberikan kawasan balak dan kuari untuk membiayai bolasepak.

“Negeri Kedah akhirnya berjaya mengimbangi keperluan membantu rakyat yang rata-rata masih miskin disamping membantu pasukan bola sepak yang membawa nama Kedah dikancah MFL dan Piala Malaysia,” kata Muhammad Sanusi.

Selain itu, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Kedah bukan pasukan super kaya yang harus tunduk sahaja kepada gaya gaji elit ditetapkan pihak lain berkemampuan membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam sangkar mereka.

Malah, beliau mendakwa gaji super elit itu menyebabkan banyak pasukan yang bersaing menghadapi masalah kewangan yang turut mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain bola sepak.

Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi apa yang sedang terjadi dengan beberapa pasukan yang bergelut dengan isu kewangan.

“Hal inilah yang meruntuhkan industri bolasepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?

“Sabah berkemampuan menawarkan pendapatan dan pengalaman yang lebih kepada mereka selain memilih berada dibawah kendalian jurulatih yang mereka gemari.

“Pertemuan jurulatih dengan pemain dan orang lain sebelum perpindahan itu berlaku pun orang Kedah tahu, tapi itu hak mutlak sebagai pemain dan jurulatih yang menjadi lumrah dalam dunia bolasepak.

“Namun mendakwa mereka berdua itu berpindah kerana ‘benci atau marah’ dengan seorang orang Kedah tentulah sukar dibuktikan.

“Kami tahu apa yang terbaik untuk kami, ikut kemampuan kami. Kamu jaga pasukan kamu, kami jaga pasukan kami, kita berentap saja di padang dengan pengadil yang adil dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pulak sudah laaa…,” tulisnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here