‘Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta’, TMJ cabar Sanusi

0
399

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KENYATAAN terbaharu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai dakwaan terdapat individu tertentu ‘mengawal’ Liga Malaysia mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Twitter baginda menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu untuk mẹmbuat pendedahan tersebut secara terperinci berkaitan dakwaan yang dilakukannya.

Pemilik kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mendesak Muhammad Sanusi agar menceritakan segala-galanya serta mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan oleh beliau.

“Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segalanya, ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh.

“Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam, terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Sikap tipikal ahli politik,” titah Tunku Ismail menerusi ciapan tersebut.

Dalam program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi mengulangi pendiriannya untuk menolak budaya ‘supreme’ atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu di dalam sukan bola sepak.

Beliau mendakwa terdapat individu yang mahu pihak tertentu mengikut telunjuknya.

Malah katanya, lebih dahsyat individu terbabit sanggup memberi bonus kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah dalam saingan Liga Malaysia.

“Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu, kawan (ada pihak) nak pergi latihan sana, kena tanya dia dahulu.

“Lepas itu dia pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu, dia ingat orang tak tahu, jangan bagi saya cerita semuanya,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

Beliau mendakwa semua mata kini tertumpu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan terdapat beberapa kejadian yang didakwa sangat pelik pernah berlaku dalam arena bola sepak tanah air.

Pergeseran antara Muhammad Sanusi dan Tunku Ismail dilihat menjadi punca Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula Syafiq Ahmad untuk kembali ke pangkuan pasukan dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ini kerana tempoh pinjaman Syafiq kepada Lang Merah belum genap setahun seperti yang dipersetujui sebelum ini, dan dia baru beraksi dalam sembilan perlawanan sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here