3 keluarga Orang Asli tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

0
272

NASIB malang menimpa ke atas tiga keluarga Orang Asli apabila terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Galang, Pos Hau, Gua Musang petang semalam.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, kejadian pada pukul 6 petang itu mengakibatkan dua rumah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi 25 peratus.

Katanya, seramai sembilan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 6.36 petang.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran tersebut pada pukul 8.45 malam.

“Kejadian kebakaran ini tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan kita menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut Mohd. Arifuddin, anggotanya mengalami sedikit kesukaran ke lokasi kejadian berikutan perlu melalui jalan balak dan ladang sebelum tiba di kawasan berkenaan dengan mengambil masa satu jam setengah.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gua Musang, Azman Ngadiron ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menyalurkan bantuan segera kepada kepada mangsa terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here