2 kapal tukar barang ditahan di perairan Pulau Pinang gagal pamer dokumen sah

0
523

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua kapal tukar barang (barter trade) dari Myanmar di kedudukan 0.8 batu nautika barat laut Pelabuhan Pulau Pinang pukul 6.50 dan 6.55 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ‘barter trade’ dengan tanda nama THITDI AUNG 3 dan DANA THIDI 9 yang didaftarkan di Yangon itu gagal mempamerkan dokumen kapal serta insuran ketika pemeriksaan dilakukan.

Menurut beliau, Kapal THITDI AUNG 3 dikendalikan sembilan kru termasuk  nakhoda (master) manakala kapal DANA THIDI 9 dikendalikan lapan kru termasuk  nakhoda (master). 

Jelasnya, kesemua mereka merupakan warga Myanmar dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berusia 22 hingga 64 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tersebut membawa muatan kayu paduak dari Yangon, Myanmar ke Pelabuhan Pulau Pinang dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal mengemukakan dokumen bot serta insuran ketika diminta oleh pegawai Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tersebut membawa muatan kayu paduak dari Yangon, Myanmar ke Pelabuhan Pulau Pinang

Ujar beliau, kedua-dua nakhoda beserta dua kru kapal tersebut telah dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk proses siasatan dan tindakan lanjut.

Tegasnya, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar Perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.
 
“Orang awam diminta bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here