KPDNHEP rampas 43,929 barang tiruan lebih RM1 juta

0
459

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 43,929 unit barangan berjenama disyaki tiruan bernilai lebih RM1 juta selepas menyerbu empat stor di kompleks pemborong di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Serbuan oleh penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur bersama wakil pemilik cap dagang itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, sebelum serbuan itu, pihaknya memperoleh aduan berkenaan barang jenama tiruan tersebut wakil pemilik cap dagang.

“Pemeriksaan terhadap empat stor itu menemukan 43,929 barang disyaki tiruan, terdiri daripada beg, dompet, tali pinggang dan minyak wangi.

“Nilai keseluruhannya dianggar RM1,072,750 dan ia disita kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Ariffin berkata, premis terbabit juga didapati menjual barangan itu secara dalam talian, dengan pemilik mempunyai kedai di kompleks berkenaan.

Bagaimanapun katanya, barangan terbabit tidak dipamer di premis bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sebahagian daripada barang-barang tiruan terdiri daripada beg tangan, dompet, tali pinggang dan minyak wangi pelbagai jenama terkemuka yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM1,072,750.00 yang berjaya dirampas KPDNHEP ketika mengadakan sidang media di Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Penjualan (barang jenama disyaki tiruan) didakwa dibuat kepada pelanggan tetap dan hanya dikenali oleh pekerja dan pemilik premis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, operasi itu turut menahan dua individu iaitu pemilik dan pekerja stor untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 44 kes berkaitan dilapor sejak Januari hingga bulan ini, membabitkan 97,169 unit barang rampasan yang bernilai RM2,829,384.47.

Katanya, 13 orang ditahan di bawah Ops Jeriji 3.0 kerana kesalahan berkaitan harta intelek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here