Malaysia perlu iktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan:Syed Saddiq

0
322

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpandangan, sudah tiba masanya negara Malaysia mengikut jejak langkah lebih 40 buah negara di seluruh dunia dalam mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan.

Beliau yang juga Pengerusi Kaukus Medical Marijuana berkata, pertama, kerajaan harus mengiktiraf bahawa banyak pesakit di Malaysia yang perlu menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan.

Jelas beliau yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), mereka yang merupakan pesakit bukan kumpulan mengedar kanabis untuk mengaut keuntungan wang semata-mata.

“Kedua, Malaysia wajar mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan seperti di negara lain.

“Langkah yang diambil di negara lain ini juga perlu dilihat sebagai satu dorongan untuk kumpulan kesihatan Malaysia menawarkan perubatan alternatif ini dengan segera.

“Malah, badan kesihatan dunia seperti World Health Organisation (WHO) juga mengiktiraf bahawa penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan ini sebagai alternatif kepada para pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketiganya, beliau telah berjumpa dan melakukan perbincangan bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan antara yang ditegaskan adalah memberi kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk memberi pertimbangan yang lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis.

Katanya, hakim-hakim juga perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes-kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan.

“Ini kerana kita perlu mengendalikan kes-kes ini dengan cermat supaya pesakit yang terpaksa menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan diberikan kelonggaran yang sewajarnya dengan tujuan penggunaan mereka,” katanya.

Menurutnya, hukuman gantung adalah hukuman yang terlampau berat kepada pesakit hanya kerana masalah kesihatan memerlukan mereka untuk mencari perubatan alternatif seperti kanabis dan hem.

Tindakan para pesakit mencari perubatan alternatif itu tidak boleh sesekali disamakan dengan jenayah bunuh misalnya apabila hukuman gantung dikenakan, katanya.

“Saya akan mengikuti perkembangan kes saudara Yasin dari masa ke semasa. Malah saya akan terus berhubung rapat dengan keluarga beliau.

“Kes mahkamah saudara Yasin ini sudah pasti akan menjadi satu rujukan untuk ahli-ahli Parlimen seperti saya dalam usaha untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan kanabis dan hem untuk tujuan perubatan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here