Rebut pengundi; proses pengundian Cabang PKR Bayan Baru kecoh

0
324

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

KEKECOHAN kecil dilaporkan berlaku ketika proses pengundian fizikal bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bayan Baru di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Baru, Pulau Pinang pagi ini.

Suasana tegang itu dilaporkan bermula selepas berlakunya perang mulut antara perayu-perayu undi bagi calon PKR yang bertanding bagi cabang tersebut.

Bagaimanapun, tiada pergaduhan fizikal sehingga menyebabkan kecederaan kepada mana-mana pihak dilaporkan ekoran insiden berkenaan.

Difahamkan, kekecohan itu berlaku antara penyokong calon Ketua Cabang Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Menurut sumber PKR, perang mulut dikatakan tercetus apabila perayu-perayu undi bagi kedua-dua calon didakwa tidak mematuhi peraturan perlu berada pada jarak 200 meter dari pusat pengundian.

Keadaan itu tambahnya, telah mewujudkan rasa tidak puas hati kepada penyokong-penyokong calon lain.

“Kami akan menyerahkan surat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung perkara ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita hari ini.

PKR ketika ini sedang mengadakan pemilihan bagi peringkat cabang di seluruh negara dengan pengundian fizikal bermula hari ini manakala undian secara online bermula 18 Mei ini.

Di Pulau Pinang, sebanyak 13 cabang mengadakan pemilihan itu hari ini iaitu Cabang Balik Pulau; Kepala Batas; Tasek Gelugor; Bagan; Permatang Pauh; Bukit Mertajam; Batu Kawan; Nibong Tebal; Bukit Bendera; Tanjong; Jelutong, Bukit Gelugor dan Bayan Baru.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung ketika dihubungi pemberita berkata, insiden itu dipercayai berpunca daripada provokasi antara perayu undi.

Bagaimanapun tambahnya, tiada sebarang kekecohan melampau berlaku sepanjang insiden terbabit.

“Kejadian berpunca disebabkan perayu undi ‘berebut’ pengundi dan ia perkara biasa dalam sebarang proses pengundian.

“Tidak ada sebarang pergaduhan fizikal berlaku dan insiden terbabit dapat dileraikan dengan baik,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here