Pak Wan akan pertahan kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU-15

0
341

BEKAS Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof akan mempertahankan kerusi Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15).

Jelas Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara peribadi, beliau tetap akan mempertahankan kerusi dimenanginya atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 sama ada diberikan watikah oleh Bersatu atau tidak.

“Secara peribadi saya akan pertahan Parlimen Alor Gajah sama ada akan diwatikahkan oleh ketua parti kita (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) atau tidak tahu.

“Mereka ada strategi tersendiri untuk memenangi parti bila ada pertandingan seperti mana kita lihat pilihan raya negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Bangi, hari ini, lapor Sinar Harian.

Untuk rekod pada PRU-14 lalu, Mohd. Redzuan memenangi kerusi Parlimen Alor Gajah atas tiket PH dengan majoriti 6,980 undi.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan menafikan beliau hilang daripada radar politik tanah air selepas tidak lagi menjadi menteri Kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang.

“Saya tidak menyepi dalam arena politik. Saya lebih kepada diam-diam mendekati akar umbi.

“Kita tahu keadaan di akar umbi sekarang dan negara ini perlu dibawakan terus kepada satu landasan yang lebih baik untuk memastikan generasi akan datang dapat menikmati kesejahteraan negara kita,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Redzuan berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu segera mencari rakan sekutu kuat untuk menghadapi PRU-15 kerana semua gabungan parti sedia ada dijangka tidak akan mendapat majoriti mudah dan mampu membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti.

Beliau berkata, masalah berkenaan timbul kerana dasar dan strategi PN sekarang masih belum jelas sama ada mahu bersama Barisan Nasional (BN) atau membentuk khemah besar bersama PH, pada PRU15 nanti.

“Sekarang ini strategi PN belum jelas dan kita sedang cari rakan dalam PRU15 tak ada satu parti yang boleh bentuk kerajaan, kena ada gabungan sama ada yang disebut PH khemah besar ataupun BN nak gabung dengan parti lain, itu kita tidak tahu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here