“Najib cakap macam orang tidak siuman” – Tun M

0
45

TUN Dr. Mahathir Mohamad menyelar kenyataan seteru politiknya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggambarkan rakyat sebagai raja atau ‘king’ menerusi pendekatan ‘cash is king’.

Beliau yang juga Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara menyifatkan kenyataan yang dibuat Najib itu sebagai satu pembohongan oleh orang tidak siuman.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga mendakwa, Najib yang sinonim dengan gelaran ‘Bossku’ itu sudah berulang kali menipu rakyat Malaysia termasuk di Dewan Rakyat.

“Saya hairan kenapa Najib diberi tempat untuk dia bercakap bohong, macam tak siuman (dia bercakap)… kononnya ‘cash is king’, ‘king’ itu rakyat, jadi sekarang bila kita jumpa rakyat, kita (kena panggil) Duli Yang Maha Mulia rakyat. Bukan macam itu… itu cakap bohong.

“Dulu dia kata nak malu buat apa pasal dia boss, boss curi tidak apa, jadi ada dalam Parlimen dia kata kita tak bayar satu sen pun hutang, mana tak bayar, kita bayar berbilion Ringgit… dia kata tak bayar, dia cakap tak betul.

“Orang ini mempunyai niat nak jadi Perdana Menteri, dia harap kalau UMNO menang dia akan diampun sekali lagi, sekarang ini semua orang nak jadi Perdana Menteri lagi,” kata Dr. Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi, di Dataran Telaga Walk, Langkawi, hari ini, lapor Astro Awani.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Najib ketika menjayakan Debat Perdana pada Khamis lalu mengenai pendekatan ‘cash is king’ yang diperkenalkan Ahli Parlimen Pekan itu semasa menerajui negara sebagai Perdana Menteri keenam.

Semasa berhujah dalam Debat Perdana dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,

Najib mempertahankan pendekatan ‘cash is king’ yang dibawanya dengan menyifatkan langkah itu lebih mudah untuk membantu rakyat ketika susah.

Sambil merujuk ‘king’ itu adalah rakyat, beliau berkata, pengenalan pembayaran tunai secara terus kepada rakyat yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya sebelum ini dan diteruskan sehingga hari ini berjaya menyegerakan bantuan kepada rakyat.

Selain membidas pendekatan ‘cash is king’, Dr. Mahathir turut menyifatkan analogi ‘kek’ yang dinyatakan Najib dalam debat berkenaan sebagai tidak menggambarkan keperibadian sebenar pemimpin itu.

“Dia buat macam itu ka (kongsi kek) semasa dia jadi Perdana Menteri? Saya ditutup sama sekali untuk bercakap, bukan pembahagian sama rata, masa dia (Najib) jadi Perdana Menteri tak ada sama rata, sekarang bila tak jadi Perdana Menteri mesti sama rata (pula)?” soal Dr. Mahathir lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here