Sukan SEA: Pembangunan bakat terjun perlu diberi tumpuan

0
679

SELEPAS beraksi cemerlang untuk menyapu bersih kesemua lapan pingat emas di Sukan SEA ke-31 di sini, kem terjun negara meletakkan harapan tinggi agar lebih banyak tumpuan diberikan di peringkat pembangunan sukan itu.

Pengurus pasukan Datuk Leong Mun Yee berkata, ia juga penting bagi memastikan penguasaan Malaysia kekal di kolam terjun temasya berkenaan, apabila beberapa negara seperti Thailand dan Singapura juga menunjukkan peningkatan pada kali ini.

“Keputusan yang memberangsangkan kerana kami sasar lapan emas dan empat gangsa, tetapi berjaya meraih lapan emas, tiga perak dan satu gangsa, melepasi sasaran kita.

“Kami menghantar seorang penerjun berpengalaman dan muda bagi setiap acara individu kerana mahu memberi pendedahan di peringkat Sukan SEA, sebagai langkah pertama. Jadi saya berharap, kita tumpukan lebih banyak usaha di peringkat pembangunan,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut mengenai prestasi atlet muda, terutamanya Ong Ker Ying dan Bertrand Rhodict yang membuat debut di Sukan SEA, Mun Yee berkata kedua-dua penerjun itu masih perlu memperbaiki beberapa aspek terjunan.

“Mereka kena perbaiki terjunan dan langkah seterusnya adalah untuk meningkatkan tahap kesukaran terjunan. Rhodict sebenarnya penerjun bagi acara platform, namun berjaya dapat gangsa (acara papan anjal) walaupun tempoh persiapan singkat, saya gembira dengan kejayaan mereka,” katanya.

Mun Yee, turut berharap dua penerjun berpengalaman negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, yang membentuk gandingan baru bagi acara 10m platform seirama wanita, mampu meningkatkan prestasi mereka pada kejohanan akan datang.

“Kali terakhir mereka bergandingan adalah pada Sukan Komanwel Glasgow 2014. Tapi kali ini persiapan tidak panjang, masa agak suntuk. Dan diharap menjelang Sukan Komanwel pada Julai dapat perbaiki dari segi terjunan individu dan sinkronisasi,” jelasnya.

Bekas penerjun kebangsaan yang bersara selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, berkata pengalaman pertamanya sebagai pengurus pasukan pada temasya kali ini, memberikan kenangan manis, walaupun sedikit memenatkan.

Berikut merupakan senarai pemenang pingat Malaysia bagi acara terjun:

Emas: Nur Dhabitah Sabri (1m papan anjal wanita), Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang (3m papan anjal seirama lelaki), Tze Liang (1m papan anjal), Ng Yan Yee-Ong Ker Ying (3m papan anjal seirama wanita), Yan Yee (3m papan anjal wanita), Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya (10m platform seirama lelaki), Muhammad Syafiq Puteh (3m papan anjal lelaki) dan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah (10m platform seirama wanita).

Perak: Kimberly Bong (1m papan anjal wanita), Ker Ying (3m papan anjal wanita) dan Gabriel Gilbert Daim (3m papan anjal lelaki).

Gangsa: Bertrand Rhodict (1m papan anjal lelaki). – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here