Bapa remaja langgar pemotong rumput disaman

0
424

BAPA kepada remaja berusia 16 tahun yang bersalah merempuh dua pemotong rumput hingga menyebabkan kematian Sabtu lalu, telah disaman.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, saman itu dikeluarkan pihak polis kepada bapa remaja bawah umur yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga melanggar dua pemotong rumput warganegaara Myanmar, 7 Mei lalu.

“Setakat ini, bapa suspek yang juga merupakan pemilik kenderaan sudah dikenakan saman,” katanya ketika dihubungi pihak Berita Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pemilik kenderaan turut berdepan tindakan tegas sekiranya mereka membenarkan seseorang di bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu kenderaan mereka.

Menteri itu berkata, tindakan terhadap pemilik kenderaan akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian pukul 11 pagi Sabtu yang lepas, seorang lelaki warga Myanmar, Cinglowpa, 20, maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sementara rakan senegaranya yang berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh kenderaan yang dipandu remaja terbabit, ketika kedua-dua mereka sedang berehat di tepi jalan.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan suspek bawah umur itu, namun dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan diambil.

Zaidy juga berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan kini sedang menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa, selain laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Sekiranya kedua-dua laporan sudah diperoleh, kertas siasatan akan dilengkapkan dan pihak kami akan merujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here