‘Keluar masuk parti politik untuk jaga kepentingan rakyat’ – Hamzah

0
432

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pemimpin politik yang keluar masuk parti sama sebagai bukan isu baharu dan dianggapnya ‘demi menjaga kepentingan rakyat’.

Beliau berkata, perkara tersebut pernah berlaku kepada beberapa tokoh dan pemimpin tertinggi negara sebelum ini yang pernah keluar parti demi kepentingan rakyat.

Sebagai contoh katanya, Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Cuba kita fikirkan almarhum Tunku Abdul Rahman – Perdana Menteri pertama, dia juga keluar parti.

“Ramai juga pemimpin-pemimpin UMNO, bukan saja peringkat bawah tapi juga presiden-presiden parti sehinggalah Tun Mahathir sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor MalaysiaKini.

Ahli Parlimen Larut itu mengulas mengenai pandangannya terhadap kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang menasihati UMNO supaya menerima semula mereka yang pernah keluar parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan itu menunjukkan agenda utama adalah untuk kepentingan rakyat, bukan individu sama ada menggunakan kaedah kepartian itu sendiri.

“Yang pentingnya kerajaan ini (sedia ada) adalah sebuah kerajaan yang stabil – dapat memastikan apa saja agenda kerajaan itu, dapat kita lakukan dengan terbaik supaya rakyat tak gelisah hidup dalam kepimpinan yang terumbang ambing.

“Itu yang sepatutnya kita berikan keutamaan…Jadi ahli parti yang keluar masuk itu perkara biasa yang berlaku dari dahulu lagi,” katanya.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, apa yang telah berlaku beberapa tahun selepas pilihan raya umum merupakan perkara yang telah berlalu.

Tanpa menyebut insiden yang dimaksudkan itu, beliau menyifatkan bahawa ada yang berlaku atas perancangan dan ada juga kerana strategi yang tertentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here