Tiada arahan rasmi polis trafik iring kenderaan didakwa anak Ahli Parlimen

0
449

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SIASATAN dalaman yang dijalankan Polis Pulau Pinang mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, Ibu Pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang bagi tugasan mengiringi anak Ahli Parlimen yang videonya tular di laman sosial sejak semalam.

Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dua anggota polis trafik yang terlibat dalam insiden tersebut kini telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes berkenaan selesai.

Tegas beliau, kedua-dua anggota trafik berkenaan telah dilucut sementara daripada menjalankan penugasan hakiki dan ditempatkan di bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai.

“Kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi memberikan keadilan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Semalam, satu rakaman video yang memperlihatkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dinaiki anak Ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang tular di dalam media sosial.

Video itu mendapat kecaman dan mengundang kritikan netizen yang mempersoal bagaimana anak Ahli Parlimen berkenaan boleh mendapat keistimewaan tersebut apatah lagi ada yang mendakwa dilakukan hanya untuk mengelak kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

Menurut Mohd. Shuhaily, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah mengeluarkan serta menjelaskan prosedur berhubung penugasan untuk mengiringi mana-mana pihak pada 18 Mac lalu untuk perhatian para anggota.

Sehubungan itu tegas beliau, polis sentiasa memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku bertentangan dengan prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, polis juga akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana melibatkan kesalahan menggunakan media sosial dan siasatan juga akan melihat kepada elemen sama ada dilakukan bagi menjatuhkan imej polis. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here