Saya rasa Najib terbabit salah laku kewangan 1MDB: Mohd Bakke

0
293

BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau meletak jawatan sebagai pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah selepas merasakan Datuk Seri Najib Razak terbabit dalam salah laku kewangan dan sesuatu tidak kena sedang berlaku di luar pengetahuannya.

Mohd Bakke berkata, ia disebabkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada bekas perdana menteri yang menyatakan mengenai kebimbangan berhubung hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara itu, tidak mendapat maklum balas daripada Najib.

Beliau yang menjelaskan lanjut mengenai perkara itu, berkata dalam SMS berkenaan, beliau memberitahu Najib bahawa terdapat beberapa perkara yang diarahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah kepada pihak pengurusan syarikat, bagaimanapun arahan berkenaan tidak dipatuhi.

Katanya, Najib bagaimanapun tidak membalas SMS berkenaan.

“Tidak terlintas di fikiran saya untuk melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan salah laku kewangan pengurusan 1MDB kerana saya mengandaikan bahawa saya sudah berbuat demikian melalui SMS yang dihantar kepada Datuk Seri Najib.

“Saya berharap Datuk Seri Najib akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengurusan 1MDB sekiranya beliau mendapati sebarang salah laku di pihak mereka.

“Oleh kerana kebimbangan saya tidak mendapat perhatian Datuk Seri Najib berikutan beliau tidak membalas SMS saya, saya merasakan bahawa dia terbabit dan sesuatu yang tidak kena berlaku tanpa pengetahuan saya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro pada Isnin.

Saksi itu berkata, ia adalah salah satu sebab utama mengapa beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah 1MBD.

Katanya, beliau tidak mengumumkan mengenai peletakan jawatan pada masa itu untuk menjaga reputasi Najib.

Mohd Bakke berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi dalam perbicaraan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Mohd Bakke berkata, beliau sendiri menyediakan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB dan tiada siapa yang mengarahkannya meletak jawatan.

Katanya, peletakan jawatan itu dibuat adalah kerana pengurusan 1MDB enggan mengikut arahan BOD.

“Sebagai pengerusi, saya meletakkan jawatan sebagai tanda protes dan saya tidak mahu terbabit dalam sebarang perbincangan dan keputusan berkaitan 1MDB.

“Saya mengarahkan setiausaha saya untuk menyampaikan surat itu kepada Datuk Seri Najib kerana jika saya menghantarnya sendiri, dia (Najib) mungkin akan meyakinkan saya untuk kekal.

“Malah saya juga bersetuju dengan Tan Sri Azlan (Pengarah 1MDB ketika itu, Tan Sri Azlan Mohd Zainol) yang menyatakan beliau akan meletak jawatan sejurus selepas saya untuk tidak menyinggung perasaan atau memalukan Najib dan mengelakkan beliau berfikir bahawa kami tidak mahu membantu beliau dalam 1MDB,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here