Polis Pulau Pinang siasat kejadian pengguna jalan raya dikasari polis di SJR

0
221

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang membuka kertas enkuiri polis (KEP) bagi menyiasat dakwaan anggota polis trafik negeri itu mengasari pengguna jalan raya di sekatan jalan raya (SJR) di Bukit Mertajam pagi semalam.

Tindakan itu diambil selepas kejadian tersebut yang turut tular di dalam media sosial disahkan berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan kes itu apabila selesai kelak akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.

“Kita (PDRM Pulau Pinang) membuat satu laporan polis berhubung kejadian ini supaya siasatan lanjut dapat dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Awal hari ini, satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipukul oleh anggota polis trafik ketika SJR di Bukit Mertajam tular di laman sosial Facebook.

Rakaman insiden itu mendapat kecaman daripada pengguna media sosial yang mendakwa anggota polis berkenaan sengaja mengasari lelaki terbabit.

Dalam pada itu Mohd. Shuhaily berkata, polis juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan pemilik akaun Facebook ‘Penang My Hometown’ berhubung video yang tular tersebut.

Selain itu kata beliau, polis juga masih mengesan mangsa dalam kejadian tersebut yang sehingga kini belum membuat laporan.

Tambahnya, siasatan insiden itu akan dijalankan dengan adil dan telus bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

“Kesemua pegawai dan anggota trafik yang terlibat dalam kejadian itu telah dilucutkan sementara daripada tugas hakiki dan ditempatkan di bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here