Kalau sudah namanya UMNO…

0
260

Oleh RIZQI ZABIDI

MENYOROT kembali detik-detik sewaktu tumbangnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada waktu itu seakan wujud bibit-bibit keinsafan dalam parti tersebut setelah terlalu lama dilihat leka bertakhta di puncak kuasa.

Berikutan penolakan rakyat, maka bermacam-macamlah nasihat dan ingatan yang timbul. Antaranya supaya kalangan ahli UMNO berhenti daripada bersikap angkuh dan sombong, kembali turun ke bawah menyantuni rakyat serta memperkukuhkan perpaduan bagi kembali mendapatkan kuasa.

Dan kuasa itu pula kata pemberi nasihat itu tadi, penting buat UMNO bagi memberi khidmat kepada rakyat (Macamlah tiada UMNO, rakyat tak boleh hidup). Lalu insaflah seketika nampaknya kalangan ‘UMNOrian’ ini dengan imej jujur dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Tetapi itu cerita empat tahun dulu, ketika kuasa yang sedap dipegang, tiba-tiba ‘ghaib’ dari dakapan…

Sekarang ini tatkala kuasa sudah di tangan (walaupun tidak secara mutlak) dengan bayang kemenangan pula sudah kelihatan berikutan kemenangan di Sarawak, Melaka dan Johor, perpaduan dalam UMNO yang dicanang-canang amat perlu dikekalkan itu, sudah mula kelihatan rapuh.

Di Langkawi contohnya iaitu tempat yang belum tentu UMNO boleh menang, perbalahan mengenai siapa calon yang layak diketengahkan sudah diperdebatkan secara terbuka di media sosial. Ada pihak mendakwa Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ir. Nawawi Ahmad yang tewas dengan majoriti lebih 8,000 undi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam PRU lepas, sudah langsung tidak relevan untuk memenangkan parti itu di situ.

Maka timbullah nama baharu iaitu seorang individu yang masih bergelar pegawai kerajaan negeri ketika ini, Datuk Armishah Siraj. Bukan calang-calang orangnya kerana sebelum ini beliau pernah bergelar Ketua Setiausaha Sulit kepada dua Menteri Besar daripada BN iaitu Datuk Seri Syed Razak Syed Zain serta Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan kini menjawat jawatan sama kepada Menteri Besar dari Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Poster melibatkan kedua-dua individu yang dikatakan akan menjadi calon BN di Langkawi. Soalnya, benarkah salah seorang daripada mereka akan diangkat menjadi calon?

Katanya Armishah hampir setiap minggu ada di Langkawi bagi menjalankan bermacam-macam program. Ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini juga, tular di media sosial kewujudan beberapa papan iklan termasuk bersaiz besar memaparkan wajah Armishah bersama akronim ‘DAS’ (mungkin bermaksud Datuk Armishah) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada penduduk Langkawi.

Memanglah aneh kerana tidak pernah dibuat dek mana-mana Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar mengeluarkan modal besar untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada penduduk di satu-satu kawasan sedemikian rupa. Apa niatnya, itu terserahlah kepadanya. Yang kita tahu, beliau ketika bercakap kepada sebuah portal mendakwa, tindakannya itu sekadar mahu menambah keceriaan sambutan Aidilfitri. Wallahu ‘alam.

Setakat ini Armishah sendiri belum pernah menyatakan secara terbuka yang beliau memang berhasrat bertanding di Langkawi. Tetapi di media sosial sudah ada yang mengangkat-angkat namanya sebagai calon terbaik manakala di satu pihak lagi, berusaha habis-habisan bagi mengangkat dalil mengapa Armishah tidak layak diketengahkan sebagai wakil UMNO di pulau peranginan tersebut.

Dan dalam bermacam-macam status yang dimuat naik bagi menyokong serta menghentam Armishah serta Nawawi itu, maka keluarlah bermacam-macam tuduhan di sana-sini.

Maka bergaduh lagilah UMNO macam dulu-dulu juga dengan pelbagai kata-kata melibatkan fizikal individu tertentu juga, menjadi modal untuk diperkatakan. Kitaran yang dulunya membuatkan rakyat meluat kepada parti itu, terus terjadi dan terjadi hingga menimbulkkan persepsi seolah-olah pergaduhan dan perebutan ini sudah menjadi darah daging UMNO hingga tidak dapat dihentikan.

Jika itu sudahnya, bagimana agaknya rakyat hendak diyakinkan bahawa UMNO itu benar-benar boleh mendatangkan damai dan membawa kebaikan kepada rakyat? – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here