9 anggota sindiket tipu tawaran kerja Australia ditahan

0
238

SEMBILAN individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Australia, dalam dua serbuan berasingan sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 31 tahun dipercayai bekerja di pusat panggilan sindiket yang beroperasi sejak Mac 2020.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan kemudahan jalur lebar dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram menerusi dua nama iaitu https:///www.facebook.com/ecotravelmalaysia dan https://www.facebook.com/malaysiaecotravel bagi mengiklankan tawaran bekerja di Australia.

Selain itu, Kamarudin berkata, sindiket turut menggunakan laman web https:www.malaysia-ecotravel.com/. untuk mengajar mangsa cara membuat permohonan visa bekerja di luar negara.

“Mangsa akan dikenakan bayaran AUD420 (RM1,400) untuk kos proses (permohonan visa) dan sindiket memasukkan maklumat mangsa dalam immiaccount online application sebelum menghantar tangkap layar yang menunjukkan dokumen permohonan serta salinan dokumen palsu yang menggunakan kepala surat Australian Government-Department Home Affairs kepada mangsa.

“Mengikut rekod dalam immiaccount online application, sebanyak 658 permohonan yang menggunakan kata kunci alamat e-mel sindiket masih dalam proses dengan melibatkan warga Bangladesh, Malaysia dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata sehingga hari ini sebanyak 1,023 individu telah membuat laporan kepada pihak Kedutaan Australia manakala polis menerima 28 laporan dengan nilai kerugian RM155,472.

Katanya, sindiket tersebut beberapa kali menukar nama syarikat perniagaan, akaun Facebook dan alamat laman web, antaranya menggunakan nama Top Speed Agency Visa dan Eco Travel Malaysia, namun reka bentuk, templat dalam e-mel, invois serta media sosial masih mengekalkan format sama.

“Individu yang menjadi mangsa atau mungkin ditipu sindiket ini diminta tampil membuat laporan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dan pengesahan dengan agensi berkaitan sebelum memohon tawaran kerja yang mencurigakan atau menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03- 26101559 atau 03-26101599,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here