2 lelaki dituduh bunuh lelaki Indonesia yang maut dengan kaki terikat besi

0
203

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia yang mayatnya dijumpai dalam keadaan kaki kiri diikat dengan rantai besi pada kerusi di Jelutong, pada Jumaat lalu.

Kedua-dua tertuduh, Dino Antonio Felix, 52, dan Ng Tse How, 45, didakwa membunuh Arsan Eka Putra, 33, di Pangsapuri Eastern Court di Jelutong kira-kira pukul 5.39 petang pada 22 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Majistret R. Manomani.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Inspektor Cyril Jatius manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh juga tidak ditawarkan ikat jamin memandangkan Mahkamah Majistret tidak mempunyai kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes bunuh.

Manomani kemudian menangguhkan kes kepada 30 Jun ini untuk menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat.

Media pada 22 April lalu melaporkan penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong.

Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh di berikutan unsur yang mencurigakan khususnya penggunaan rantai besi pada kaki mangsa. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here