Muhammad Ziyad diharap tampil aksi terbaik di Sukan Sea Hanoi

0
301

JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli diharap mampu menampilkan prestasi terbaik walaupun kurang pendedahan di pentas antarabangsa menjelang Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam bulan depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata temasya dwitahunan itu pastinya menjadi medan menguji atlet terbabit sebelum beraksi pada Sukan Para ASEAN (APG) di Solo (Surakarta), Indonesia atau Sukan Komanwel Birmingham, kedua-duanya dijadualkan pada Julai ini.

Beliau berkata pihaknya meletakkan harapan tinggi kepada Muhammad Ziyad untuk mencari momentum bagi menghasilkan ‘sesuatu’ di temasya itu.

“Semua atlet sudah lama tidak menyertai apa-apa pertandingan, saya rasa semua orang berada di tahap yang sama sekarang. 

“Sekurang-kurangnya kita dah tahu tidak banyak atlet paralimpik akan bertanding di Vietnam jadi ia bakal menjadi kayu pengukur buat dia kali ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama MPM di Kuala Lumpur pada Khamis. 

Menurut Megat D Shahriman, Muhammad Ziyad yang mempunyai lontaran terbaik 17.12 meter (m) pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur sedang berusaha mengembalikan otot fizikalnya sebagai bekalan ke Hanoi.

Semasa Kejohanan Trek dan Padang Singapura ke-82 2022 pada 16 April lepas, Muhammad Ziyad membawa pulang pingat gangsa dalam acara lontar peluru dengan mencatatkan jarak terbaik musim ini iaitu 16.54m, lebih baik berbanding catatan 16.27m semasa Terbuka Malaysia, awal bulan lepas.– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here