Pemandu rentung dalam kereta terbakar

0
212

SEORANG pemandu ditemui rentung di dalam sebuah kereta yang terbakar di Jalan PJS 11, Bandar Sunway berhadapan pusat beli belah Sunway Pyramid, Selangor, malam tadi.

Kejadian disedari orang awam sebelum dilaporkan kepada Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerusi panggilan MERS 999 jam 7.57 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati kereta dipercayai jenis PROTON itu berada di atas pembahagi jalan dan terbakar.

“Kereta terbabit dipercayai terbabas sebelum terbakar sehingga menyebabkan kenderaan itu musnah sepenuhnya.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya turut dikejarkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang mangsa dipercayai pemandu ditemui rentung dalam kenderaan terbabit, bagaimanapun identitinya tidak dapat dipastikan lagi.

Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada kejadian itu berlaku akibat terbabas atau kemalangan membabitkan kenderaan lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here