Khemah Besar pembangkang; MUDA belum buat keputusan rasmi

0
220

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) belum membuat keputusan rasmi berhubung kerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ yang diusulkan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Dr. Teo Lee Ken berkata, perkara itu bagaimanapun turut dibincangkan barisan kepemimpinan parti tersebut sebelum ini, namun tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.

Bagaimanapun jelas beliau, parti MUDA sentiasa memberi sokongan kepada gabungan pembangkang sekali gus terbuka kepada sebarang perbincangan dan peluang bersama gabungan tersebut.

“Setakat ini tiada keputusan muktamad mengenai konsep Khemah Besar ini dan perbincangan lanjut mengenainya akan terus dijalankan.

“Sebarang kenyataan rasmi mengenai pendirian MUDA berhubung perkara ini juga akan dibuat Presiden kami, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran kerjasama rasmi antara Actnow dan MUDA Pulau Pinang di Penang Digital Library Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

Malah, Salahuddin yang juga Naib Presiden PH menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

Sementara itu Lee Ken berkata, parti MUDA menerima sambutan menggalakan di Pulau Pinang yang mana seramai 3,000 orang sudah mendaftar sebagai ahli setakat ini.

Jelasnya, sambutan itu merupakan petanda positif yang mana Pulau Pinang merupakan antara negeri yang diberikan tumpuan oleh MUDA selain Sabah; Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here