Guru dikhuatiri lemas dihanyut arus sungai

0
223

SEORANG guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, dikuatiri lemas selepas dihanyut arus sungai ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, Setiu pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, mangsa Sugani Yasin, 51, melakukan aktiviti memukat bersama 15 orang rakan lain.

Menurut beliau, bilik gerakan menerima satu laporan daripada orang awam di kawasan muara sungai Kuala Baru, Kampung Mangkuk.

Katanya, seorang rakan mangsa menyatakan dia bersama 15 individu menaiki bot dari pantai Kampung Fikri bagi tujuan memukat ikan sekitar pukul 9 malam.

Beliau berkata, kumpulan itu memilih lokasi kejadian untuk melabuhkan pukat dan apabila waktu menaikkan pukat, saksi menyatakan 11 individu turun menarik pukat.

“Mangsa bersama tiga lagi rakan hanya berjalan di kawasan berkenaan kerana air sedang surut,” katanya, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun kata Afandi, tanpa disedari mangsa termasuk ke laluan air dalam, lalu tenggelam dihanyutkan arus.

“Mangsa gagal diselamatkan oleh tiga rakan yang berada berdekatan.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pada pukul 1.40 pagi dengan kekuatan 19 anggota dan pegawai polis, 13 anggota bomba dan penyelamat, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

Sementara itu, Ketua BBP Setiu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Razli Rapiae berkata, operasi menyelamat turut dibantu BBP Kuala Terengganu dan Jerteh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here