Liverpool, City lepasi halangan ke separuh akhir Liga Juara-Juara

0
336

JURGEN Klopp mengakui dia lega melihat Liverpool menempah pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Villarreal ketika kelab yang mengejar empat kejuaraan itu terselamat apabila seri 3-3 menentang Benfica.

Skuad kendalian Klopp menyertai senarai kelompok empat terakhir apabila seri 3-3 pada suku akhir kedua di Anfield, pagi tadi.

Mereka mengawal sebahagian besar aksi di Anfield tetapi perlu menahan debaran sebelum mara menerusi agregat 6-4, berikutan aksi merudum pada penghujung permainan.

Ibrahima Konate meletakkan Liverpool di depan sebelum Goncalo Ramos menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama.

Apabila Roberto Firmino meledak dua kali selepas rehat, pertembungan itu dilihat sudah berakhir.

Bagaimanapun Roman Yaremchuk dan Darwin Nunez meledak buat Benfica yang memberikan harapan buat pelawat namun Liverpool dapat bertahan.

“Ketika saya tidak terlalu yakin untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, ada sesuatu yang salah dan mungkin saya patut bersara!” kata Klopp.

“Situasinya ialah pertahanan tidak pernah bermain bersama dan ia mengenai ketelitian, kekalkan tumpuan 100 peratus,” katanya yang membimbing Liverpool menang 3-1 pada suku akhir pertama di Lisbon sebelum ini.

Sementara itu, Manchester City turut mara dengan agregat 1-0 selepas terikat tanpa jaringan menentang Atletico Madrid dalam suku akhir kedua.

Pertahanan Manchester City, John Stones memuji persembahan “menakjubkan” pasukannya selepas seri tanpa jaringan di Atletico Madrid ketika skuad kendalian Pep Guardiola menempah pertemuan besar di separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

Kevin De Bruyne menjaringkan gol tunggal pertembungan itu pada suku akhir pertama di Manchester dan City bertahan disebalik penamat penuh kekasaran pada aksi kedua di ibu kota Sepanyol.

Pertahanan tengah Atletico, Felipe dibuang padang pada penghujung saingan kerana mengasari Phil Foden dalam kejadian yang mencetuskan pergaduhan di sudut padang menyebabkan tambahan masa lebih 12 minit.

“Kami tahu mereka kadangkala cuba dan menjadikan perkara seperti itu tetapi kami menghadapinya dengan bagus,” kata Stones kepada BT Sport.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here