BTS tak dijemput ke acara angkat sumpah Presiden Korea Selatan

0
315

PEMINAT BTS kecewa apabila mengetahui bahawasanya kesemua anggota kumpulan tersebut tidak akan diundang ke majlis angkat sumpah Presiden Korea Selatan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Jika sebelum ini kumpulan tersebut sering menjadi perhatian pemimpin di sana untuk menghadiri acara kenegaraan, kali ini mereka tidak diberikan peluang untuk membuat persembahan sempena hari bersejarah itu.

Menurut, Ketua Jawatankuasa Majlis Angkat Sumpah Presiden Korea Selatan, Park Joo-sun mengesahkan yang BTS tidak akan diundang membuat persembahan dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat pasukan peralihan kuasa di Seoul.

“Kami percaya adalah tidak sesuai untuk menjemput BTS kali ini kerana bakal Presiden mahukan sebuah majlis ringkas dan sederhana yang menggalakkan perpaduan negara sambil disertai oleh kanak-kanak, warga emas serta bintang kurang dikenali.

“Tambahan pula, dengan bajet yang terhad, sukar untuk menjemput bintang pujaan global seperti BTS, jadi kami memutuskan untuk tidak mengundang mereka,” katanya seperti dilaporkan media tempatan di sana.

Joo-sun turut menambah, mereka berharap akan berpeluang untuk menjemput BTS pada masa depan yang lebih sesuai dengan status dan kemasyhuran kumpulan itu.

Beliau juga menolak tanggapan majlis angkat sumpah itu sebagai acara politik dan berkata, ia adalah acara negara yang ditetapkan oleh undang-undang.

Meskipun sebahagian besar peminat kecewa dengan keputusan berkenaan, mereka tetap menghormati keputusan wakil kerajaan itu yang mahukan sebuah acara sederhana sahaja. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here