Sam Ke Ting fail rayuan, mohon tangguh hukuman penjara

0
548

SAM Ke Ting yang dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu.

Memetik laporan FMT, peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar berkata, kedua-dua notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan hari ini melalui sistem e-filing mahkamah.

Katanya, perakuan segera juga telah difailkan oleh Sam Ke Ting hari ini.

Wanita tersebut yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak di Johor Bahru, dipenjara enam tahun bermula semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut terhadap Sam Ke Ting, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Jurujual itu turut didenda sebanyak RM6,000 dan jika gagal bayar akan ditambah hukuman penjara enam bulan selain hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.

Abu Bakar berhujah, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara bersumpah bersifat penafian semata-mata bahawa responden tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar kumpulan itu dan telah melarikan diri.

“Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” hujahnya sebelum menjatuhkan hukuman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here