Bekas tok sidang kampung mengaku tidak bersalah minta, terima suapan

0
194

SEORANG bekas tok sidang kampung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk tidak melaporkan pembuangan bahan terlarang, tiga tahun lalu.

Zakaria Manap, 60, yang menjawat jawatan sebagai Tok Sidang Kampung Rembia, Alor Gajah selama dua tahun membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta daripada Pengarah Urusan Syarikat Ami Ventures Sdn. Bhd, Ahmad Mudzafri Idris untuk diri sendiri suatu suapan wang tunai RM500, lapor Sinar Harian.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) atas kesalahan membuang bahan terlarang oleh pekerja syarikat tersebut di Kampung Rembia.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima suatu suapan berjumlah RM100 dan RM400 daripada seorang pekerja syarikat tersebut, Mohd Khairol Amizan Elias.

Ia sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) atas kesalahan membuang bahan terlarang oleh pekerja Syarikat Ami Ventures Sdn Bhd di kawasan terbuka di Kampung Rembia.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di stor Syarikat Ami Ventures Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Rembia pada 20 dan 21 Januari 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalaham itu mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM Melaka, Nur Syakila Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here