Pindaan dan RUU Anti Lompat Parti: Pimpinan PH jumpa PM di Parlimen

0
229

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu Pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang dipersetujui mereka dan pihak kerajaan dibentang serta diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung Mei 2022.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu merupakan antara hasil perbincangan antara pimpinan utama PH dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen, pagi ini.

Perbincangan itu melibatkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Kenyataan Majlis Presiden PH itu merangkumi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohd Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Selain itu, Majlis Presiden PH memaklumkan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ia dihadkan kepada Rang Undang-Undang berhubung larangan melompat parti sahaja.

Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun juga akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Majlis Presiden PH turut memaklumkan pindaan perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti dan ditugaskan meneliti, memperhalusi serta mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan tersebut juga mengulangi pendirian mereka bahawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti merupakan satu daripada syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).

“Pakatan Harapan komited kepada proses untuk memastikan Pindaan Perlembagaan dan RUU (Rang Undang-Undang) Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu hari ini di Dewan Rakyat, Wan Junaidi berkata kerajaan dan PH mempersetujui tiga perkara berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan termasuk memperhalusi berkaitan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti. 

Beliau berkata perkara itu dipersetujui pada mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri pagi ini, selain mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan memansuhkan Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan, termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here