Lapan pegawai kanan syarikat ditahan kes rasuah GLC RM2.3 bilion

0
255

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai lebih RM2.3 bilion.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun itu masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

Di Putrajaya, Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap dua individu dan lima hari terhadap empat yang lain.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan permohonan reman masing-masing selama lima hari dan dua hari terhadap dua individu.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat terbabit.

Berdasaran laporan Berita Harian, mereka dipercayai terbabit dalam perlakuan rasuah projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara 2017 hingga 2021.

Katanya, kesemuanya ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan SPRM Sarawak antara jam 1.30 petang semalam hingga 12.30 tengah malam tadi, ketika hadir memberi keterangan.

Tambahnya, susulan penahanan itu, beberapa sitaan dilakukan antaranya 10 kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000; lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk jongkong emas, 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here