Khemah besar pembangkang: Belajarlah dari kematangan politik Indonesia

0
320

Oleh Mikail Firdaus

NAMPAKNYA idea penyatuan antara Perikatan Nasional (PN) dengan parti pembangkang walaupun diakui banyak pihak sebagai jawapan terbaik untuk mengalahkan BN pada PRU-15 akan datang, masih terlalu berliku dan hanya boleh menjadi kenyataan jika kesemua pemimpin pembangkang membuang dan mengetepikan ego politik masing-masing.

Jika dilihat kepada pendirian Tun Dr. Mahathir dan Lim Guan Eng yang keras menolak idea yang sedang dirintis Muhyiddin Yassin itu, ramai yang pesimistik tetapi tidak semua pemimpin dalam PH dan parti pembangkang berfikiran seperti Dr. Mahathir dan Guan Eng. Ramai lagi pemimpin PH dan pembangkang yang realistik.

Dr. Mahathir memang sudah menjadi pengetahuan umum egonya tinggi melangit – merasakan hanya dia sorang sahaja yang boleh memimpin negara walaupun PRN Johor sudah membuktikan segala-galanya iaitu beliau dan parti Pejuang ditolak rakyat. Guan Eng juga serupa – walaupun sedar tanpa penyatuan pembangkang, Barisan Nasional (BN) akan menang selesa.

Sebenarnya, dalam memperkatakan soal penyatuan untuk menyatukan PN dan parti-parti pembangkang di bawah satu khemah besar ini, para pemimpin yang kononnya merasakan diri mereka hebat ini sepatutnya belajar dengan kematangan politik Indonesia.

Lihatlah bagaimana kematangan politik di negara seberang itu telah memacu Indonesia jauh meninggalkan Malaysia. Suatu ketika dahulu, kita mungkin mentertawakan Indonesia, tetapi ternyata kini mereka jauh lebih matang dan sudah membuktikannya melalui kebijaksanaan serta keberanian politik.
Jokowi bukan seperti Tun Mahathir dan Guan Eng. Presiden Indonesia itu jauh lebih berjiwa besar apabila sanggup bersekutu dengan musuh politiknya sendiri, iaitu Prabowo demi kepentingan Indonesia. Hasilnya sekarang pentadbiran serta politik Indonesia lancar, ekonominya maju dan paling penting rakyat merasa terbela.

Soalnya, kalau Jokowi dan Indonesia boleh mengetepikan segala titik bengit peribadi demi kepentingan lebih besar, mengapa pemimpin seperti Tun Mahathir yang digelar negarawan tidak boleh memperlihatkan sikap negarawan dalam soal penyatuan? Mengapa Guan Eng lebih mengutamakan soal sentimen peribadi berbanding suara majoriti?

Dalam hal ini, BERSATU yang bermesyuarat malam tadi telah membuat keputusan tepat apabila sebulat suara memberi mandat penuh kepada Muhyiddin untuk menjayakan pelan penyatuan dengan parti-parti lain. Terpulanglah kepada kebijaksanaan Muhyiddin selepas ini kerana kunci sudah diberikan kepada beliau.

Suka atau tidak – walaupun jalannya penuh berliku, penyatuan PN dan parti pembangkang ini perlu dijayakan, sama ada di bawah satu gagasan atau pun melalui kerjasama strategik. Jika Pejuang dan DAP berkeras, lupakanlah dahulu kedua-dua parti ini, fokus dahulu penyatuan dengan parti-parti yang lebih realistik dan mempunyai kematangan politik.

Lagi pun Pejuang bukannya ada akar umbi dan hanya bergantung sepenuhnya kepada batang tubuh Tun Mahathir. DAP pula biarlah mereka kekal dengan ego Guan Eng kerana jika tersilap percaturan, tidak mustahil Pulau Pinang boleh terlepas daripada tangan DAP.

Sekali lagi belajarlah daripada Indonesia untuk membentuk khemah besar ini – ia tidak mudah tetapi boleh dijayakan kerana arena politik ini sarat dengan nilai optimistik, cuma perlukan keikhlasan dalam kalangan pemimpin.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here