Warisan sedia cari gabungan lain selain PH, kata penganalisis

0
305

PENGANALISIS politik berpendapat, tindakan Warisan yang menimbulkan kemarahan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan mereka menjauhkan diri daripada gabungan berkenaan.

Memetik laporan FMT, Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, Warisan kini dilihat lebih bersedia untuk mencari gabungan lain selain PH untuk bekerjasama pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Tindakan Warisan menerima dua bekas wakil DAP menyebabkan hubungan dua parti itu semakin buruk, begitu juga tindakan Warisan bertanding di kawasan PH pada pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu.

“Ia seolah-olah sengaja dilakukan bagi memastikan kemarahan pihak PH dan membolehkan Warisan serta Pejuang bertanding dalam blok sendiri.

“Ini bermakna Warisan dilihat lebih bersedia untuk mencari gabungan lain selain PH untuk bekerjasama pada PRU akan datang,” katanya.

Katanya, agak sukar bagi Warisan memenangi banyak kerusi, khususnya di Sabah, sekiranya mereka tidak bergabung tenaga dengan mana-mana parti pada PRU akan datang.

“Warisan sukar memenangi banyak kerusi (jika bergerak solo) kerana musuhnya di Sabah akan pastikan mereka kalah teruk.

“Parti itu juga mungkin menganggap mereka terlalu kuat hingga cuba melebarkan sayap di Semenanjung manakala di Sabah pula mereka kurang fokus kerana mengejar kerusi di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Tony Paridi Bagang turut berpendapat bahawa Warisan akan berdepan kesukaran jika tidak bekerjasama dengan parti atau pakatan politik lain.

Bagaimanapun katanya, Warisan pasti akan mencari atau membentuk kerjasama politik menjelang PRU nanti.

“Dalam PRU nanti sudah pasti matlamat utamanya untuk menang dan seterusnya berharap untuk membentuk kerajaan. Namun jika bersandarkan kepada satu parti sahaja ia agak mustahil.

“Seperti sebelum ini, kerjasama politik pasti berlaku. Dalam kes Warisan, ia pasti mencari dan membentuk kerjasama strategik dengan mana-mana pakatan politik sama ada dengan PH atau sebaliknya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here