PRU-15: Tiada salahnya Muhyiddin rancang kerjasama dengan parti lain

0
278

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

RAMAI yang tidak setuju dengan kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengatakan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak disenangi banyak pihak ketika menjadi Perdana Menteri ke-8.

Ternyata apa yang dinyatakan Dr Mahathir itu kenyataan terpesong tanpa berpijak kepada fakta yang sebenar kerana jika disoroti kembali, rakyat bawahan sememangnya selesa dan menyukai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa yang diterajui oleh Muhyiddin.

Dalam keadaan politik yang tidak berapa stabil dan dihentam dengan situasi pandemik Covid-19 yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, Muhyiddin dengan tenang tetap berjaya membuat keputusan besar untuk menyelamatkan ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia.

Muhyiddin juga berjaya mengisi jiwa rakyat dengan kepercayaan bahawa kebergantungan sepenuhnya terhadap Maha Pencipta adalah kunci utama untuk menghadapi pandemik Covid-19.

Beberapa keputusan Muhyiddin dilihat berprinsip dan mempunyai integriti apabila ahli Parlimen yang benar-benar bersih tanpa kes mahkamah sahaja dilantik menganggotai kabinet.

Dalam masa sama, individu yang pakar dalam bidang masing-masing dilantik memegang jawatan utama seperti Menteri Agama dan Menteri Kewangan.

Pada ketika itu dan diakui ramai pihak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang 100 peratus sempurna tetapi Muhyiddin berjaya menyelamatkan negara ini daripada terus jatuh akibat impak pandemik yang dirasai seluruh dunia.

Banyak juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa, sekiranya Dr Mahathir masih memimpin negara pada ketika Covid-19, rakyat akan terus tertekan kerana pemimpin veteran berusia 96 tahun itu agak kedekut untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat berbanding Muhyiddin.

Bahkan, semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum Covid-19, rakyat berasa tidak yakin dengan keupayaan gabungan parti dalam PH untuk membela nasib rakyat.

Muhyiddin sebaliknya, membela rakyat melalui kelulusan moratorium pinjaman bank – yang mana keputusan itu amat membantu rakyat yang hilang sumber pendapatan, kehilangan sebahagian gaji dan sebagainya.

Jika tanpa moratorium yang diberikan sebanyak dua kali, tidak tahulah apa akan berlaku kepada majoriti rakyat Malaysia ketika itu.

Tambahan pula, jika tanpa keputusan pembelian vaksin yang cepat dan program vaksinasi yang pantas, Malaysia sebenarnya agak sukar untuk pulih dan keluar daripada bencana kesihatan seperti mana sekarang ini.

Oleh itu, tiada salahnya jika Muhyiddin merancang kerjasama parti-parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kerana hanya dengan cara itu ia akan dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin juga calon Perdana Menteri sesuai dalam gabungan politik itu kerana tiada lagi pemimpin lain yang layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir misalnya yang sudah menjadi PM sebanyak dua kali iaitu yang keempat dan ketujuh, sepatutnya menerima dengan hati terbuka cadangan Muhyiddin itu kerana jika tidak UMNO/BN akan kembali menjadi kerajaan dengan kuasa mutlak.

Dakwaan bahawa Dr Mahathir ditikam daripada belakang juga tidak sewajarnya timbul kerana jika tanpa gerakan yang dilakukan oleh Muhyiddin, sudah pasti selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR akan menjadi PM.

Adakah Dr Mahathir setuju dengan keputusan memilih Anwar sebagai PM? Jawapannya sudah tentu tidak kerana jika dari awal lagi Dr Mahathir menyokong Anwar, sudah lama Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi PM.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here