PGA berkas dua tekong, 14 PATI sembunyi dalam semak

0
436

BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menahan dua tekong darat dan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas dikesan bersembunyi dalam semak berhampiran Jalan Banting-Sepang, Morib, Selangor, semalam.

PGA dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memberkas mereka menerusi rondaan yang dijalankan pukul 12.30 tengah hari.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supritenden Rizal Mohamed berkata, kedua suspek bertindak sebagai tekong darat itu diberkas dalam dua buah kenderaan.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati kedua suspek berumur 28 dan 38 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

“Siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada penemuan 11 PATI lelaki berumur antara 23 hingga 41 tahun dan tiga PATI wanita berumur antara 23 hingga 55 tahun dalam kawasan semak berhampiran,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Katanya, kesemua PATI yang diberkas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua PATI ini dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

“Kesemua tangkapan dan rampasan berjumlah RM44,100 melibatkan dua buah kenderaan dan dua buah telefon bimbit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here