63 syarikat seleweng subsidi minyak masak, elak cukai RM200 juta

0
436

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan 63 syarikat menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masakan, membabitkan cukai tidak berbayar sebanyak RM200 juta.

Penyelewengan itu membabitkan 44 syarikat yang kurang lapor pendapatan serta 19 lagi syarikat tidak mempunyai fail cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi, berkata, pihaknya mengesan salah laku syarikat itu menerusi Operasi Subsidi Minyak Masak (OP Saji) yang dijalankan bermula Isnin lalu hingga hari ini.

“Antara modus operandi penyelewengan subsidi minyak masak ini adalah syarikat itu mendapatkan bekalan bersubsidi daripada syarikat pembekal dengan menggunakan lesen lain untuk dijual pada harga pasaran.

“Selain itu, syarikat berkenaan mengupah pihak ketiga bagi menguruskan pemindahan minyak masak bagi tujuan penjualan ke luar negara dan syarikat menuntut subsidi, tetapi tiada sebarang penjualan minyak masak paket.

“Turut dikesan ialah kewujudan pemborong palsu bagi tujuan tuntutan subsidi sedangkan pemborong berkenaan adalah pihak syarikat itu sendiri,” katanya dalam sidang media khas, di Putrajaya, hari ini. 

Mohd Nizom berkata, OP Saji itu dijalankan selepas terdapat beberapa pendedahan mengenai kegiatan penyelewengan berkenaan dan stok minyak masak paket yang semakin berkurangan dalam pasaran.

“Ada rungutan mengenai minyak masak subsidi ini, jadi kita dapatkan senarai syarikat yang menerima subsidi kerajaan. Sepatutnya dengan subsidi yang dikeluarkan minyak masak bersubsidi seharusnya cukup untuk dijual di pasaran,” katanya.

Ketika OP Saji itu dijalankan, pihaknya menemukan terdapat syarikat yang menggunakan kuota bersubsidi pihak lain serta menjualnya secara haram dan ada syarikat yang tidak melaporkan penjualan minyak bersubsidi.

“Malah, terdapat juga syarikat yang menjual minyak bersubsidi kepada orang tengah sebelum ia dijual secara haram dan syarikat tidak menggunakan sepenuhnya kuota pembungkusan yang diberikan tetapi menuntut bayaran subsidi penuh,” katanya.

Mengulas mengenai situasi penyelewengan subsidi minyak masak yang diperuntukkan oleh kerajaan, Mohd Nizom berkata, terdapat kilang yang menerima kuota subsidi berkenaan namun tiada aktiviti pembungkusan untuk minyak berkenaan dijalankan.

“Kilang menerima kuota subsidi tetapi tiada mesin pembungkusan minyak subsidi di premis berkenaan, kilang menerima kuota subsidi namun premis berkenaan sudah ditutup serta kilang menerima kuota subsidi tetapi kapasiti pengeluaran meragukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here