Bekas Presiden JCorp dituduh perdaya pelaburan RM9.46 juta

0
470

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BEKAS Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Bhd (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan memperdaya Ahli-ahli Lembaga Pengarah JCorp membabitkan pelaburan RM9.46 juta pada 2019.

Kamaruzzaman mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang berusia 58 tahun hanya mengangguk tanda faham dan memohon agar dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Kamaruzzaman didakwa menipu dengan memperdaya ahli lembaga tersebut untuk melabur sebanyak USD1 (RM4.21 juta) dalam World Logistic Council Limited, manakala sebanyak USD1.25 juta (RM5.27 juta) pula dilaburkan dalam World Logistic Council Americas LLC.

Beliau didakwa membuat kesalahan itu melalui satu pembentangan untuk meluluskan penggunaan dana sementara JCorp berjumlah USD5 juta (RM21.07 juta) untuk membuat pelaburan berkenaan.

Kamaruzzaman didakwa melakukan perbuatan itu di bilik mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25, Menara Komtar, Johor Baahru pada 8 Julai 2019.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.

Mahkamah kemudian membenarkan Kamaruzzaman dijamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah, perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun peguam tertuduh, K. Ragunath memohon agar mahkamah membenarkan pasport tertuduh diserah sebelum 23 April kerana Kamaruzzaman bakal menunaikan umrah pada 7 April ini sebelum pulang ke tanah air semula pada 18 April.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan turut menetapkan tarikh 25 Mei untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan penyerahan senarai saksi pendakwaan.

Kamaruzzaman dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada Disember 2010 menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebelum bersara pada 12 Disember 2019. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here