PRU-15 dijangka diadakan selepas MoU kerajaan, PH tamat

0
375

ISU pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan pelaksanaan awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini menjadi polimik dalam perbincangan politik negara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir.

UMNO merupakan pihak terkehadapan memainkan perkara tersebut ketika ini terdorong daripada kemenangan PRN di Johor dan Melaka dengan jumlah kemenangan yang selesa melalui Barisan Nasional (BN).

Ahli dan kepimpinan tertinggi UMNO dilihat menggunakan sepenuhnya pentas Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung selama empat hari bermula Rabu dengan menjadikan isu tersebut sebagai perkara utama dalam acara berkenaan, memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Desakan dan saranan yang dilontarkan itu dilakukan dengan mengambil kira momentum dan prestasi baik ditunjukkan oleh UMNO dan BN dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk di PRN Sabah.

Bagaimanapun, prestasi baik parti itu dalam pilihan raya sebelum ini bukanlah satu-satunya sebab yang memungkinkan berlakunya PRU-15 dengan lebih awal meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Naib Presiden UMNO.

Ini kerana selain perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, langkah pembubaran Dewan Rakyat itu juga perlu terlebih dahulu mengambil kira Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Namun begitu, situasi semasa MoU itu dilihat berada dalam keadaan tidak menentu ekoran kelewatan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti di Parlimen.

Semalam, pemimpin DAP, Lim Guan Eng berkata, MoU tersebut tidak akan bermakna dan perlu ditamatkan sekiranya RUU itu tidak dibentangkan pada urusan mesyuarat Parlimen pada Isnin.

Kenyataan beliau itu dilihat selari dengan penegasan yang dilontarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang menggesa agar RUU Anti Lompat Parti segera dibentang dan diluluskan pada persidangan Parlimen kali ini seperti yang dijanjikan Perdana Menteri.

Malah, Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu turut menyatakan bahawa PH tidak teragak-agak untuk menarik balik MoU tersebut sekiranya RUU Anti Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi Parlimen yang berlangsung pada Mac.

MoU tersebut menetapkan bahawa di bawah perkara pembentangan RUU berkaitan hendaklah dibentang dan diluluskan dalam tempoh tidak lewat daripada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen tahun 2022 yang bermula pada 28 Februari lalu dan berakhir pada Khamis ini.

Penamatan MoU yang pada awalnya ditetapkan berakhir pada Julai ini dan turut meliputi penangguhan pembubaran Dewan Rakyat itu dilihat secara langsung memberi ruang kepada UMNO untuk memaksa Perdana Menteri bagi memberi laluan untuk mengadakan PRU15 dengan lebih awal.

Dengan mengambil kira tekanan kepimpinan tertinggi UMNO dan keperluan parti itu sendiri untuk mengadakan PRU-15 sebelum pemilihan yang dijadual pada akhir tahun ini, Ismail Sabri dijangka terpaksa akur dengan kehendak partinya.

Justeru, penamatan MoU tersebut sekiranya benar-benar berlaku dilihat menjadi satu lagi peluang yang bakal digunakan UMNO untuk memastikan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, termasuk selepas bulan puasa iaitu pada Mei ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here