PGA rampas rokok, arak seludup bernilai hampir RM2 juta

0
497

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas sebanyak 8,035 karton rokok tidak bercukai bernilai hampir RM2 juta dalam dua serbuan berasingan di Muar, Johor, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di rumah di Taman Sari Cempaka 7, Jalan Junid kira-kira pukul 4 petang.

“Seorang lelaki berusia 39 tahun disyaki ahli sindiket penyeludupan ditahan bersama rampasan 4,985 karton rokok dan 11 kotak arak pelbagai jenama.

Rampasan rokok dan arak seludup dilakukan PGA menerusi serbuan kedua di Taman Aman, Jalan Abdul Rahman, Muar

“Soal siasat ke atas suspek membawa ke rumah kedua di Taman Aman, Jalan Abdul Rahman dan menemukan 3,050 karton rokok dan 53 kotak arak seludup pelbagai jenama. Semua rokok dan arak seludup itu bernilai RM1.81 juta.

“Turut dirampas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 yang dipercayai dijadikan kenderaan untuk mengedar barangan berkenaan dan anggaran keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1,993,200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok dan arak seludup ke kedai-kedai runcit yang tidak berlesen di sekitar kawasan Muar.

Menurutnya, suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas serta disiasat mengikut Seksyen 135 (1)Akta Kastam 1967.

Tangkapan dan rampasan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut, katanya.

Turut dirampas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 yang dipercayai dijadikan kenderaan untuk mengedar rokok dan arak seludup

“Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Muar,” katanya.

Katanya, pihak polis menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here