Lepaskan tiga das tembakan, kereta langgar MPV polis

0
234

POLIS melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta dipandu seorang lelaki yang merempuh sebuah kereta peronda polis (MPV) pada kejadian di Kampung Tandop Kedabu, Ayer Hitam, Kubang Pasu, Kedah, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, dua anggota MPV Balai Polis Ayer Hitam sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan Honda Accord dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, anggota MPV mengekori kereta itu sejauh empat kilometer sebelum suspek berhenti di tepi jalan berdekatan kampung.

Katanya, bagaimanapun, ketika cuba melakukan pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dengan laju sehingga hampir melanggar dua anggota polis berkenaan.

“Pada masa sama, kereta terbabit melanggar MPV berkenaan. Anggota terpaksa menembak tayar kereta suspek untuk memberhentikannya.

“Suspek memecut dari lokasi manakala anggota MPV terus mendapatkan bantuan daripada unit lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Kejadian itu tular dalam media sosial dengan tiga rakaman video menunjukkan MPV polis mengejar sebuah kereta di kawasan sawah di kampung berkenaan.

Rodzi berkata, hasil risikan, pihaknya menemui Honda Accord terbabit disembunyikan di belakang sebuah rumah di Kampung Tempatan, Air Hitam pukul 7 petang.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui satu paket heroin seberat 0.9 gram, dua paket syabu seberat 95 gram, pisau serta plastik yang banyak dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Bahagian belakang kereta itu turut rosak selain kedua-dua tayar kanannya pancit akibat ditembak anggota MPV berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kami masih mengesan suspek,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menyembunyikan kereta itu di rumah terbabit kerana suspek mahir dengan kawasan berkenaan.

“Kita sudah mengenal pasti pemilik Honda Accord terbabit yang dipercayai milik seorang lelaki berkemungkinan besar adalah penjenayah atau pengedar dadah.

“Berdasarkan kesan cap jari pada kereta terbabit, kami sudah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 44 tahun yang dipercayai penagih dan pengedar dadah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here