Boleh rapatkan saf di masjid, surau Wilayah Persekutuan bermula 1 April

0
461

UMAT Islam yang telah menerima vaksin Covid-19 kini boleh kembali merapatkan saf di masjid-masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan seperti biasa tanpa perlu penjarakan fizikal mahupun mengikut had umur bermula pada 1 April ini.

Masjid dan surau juga dibenar mengerjakan solat terawih 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan, begitu juga aktiviti qiyamullail selepas tengah malam.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, jemaah pada masa sama terus digalakkan untuk membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Bagaimanapun, aktiviti penyediaan makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ajib menambah, mulai tarikh itu juga, JAWI membenarkan aktiviti tadarus Al-Quran di masjid dan surau yang dihadiri kumpulan-kumpulan kecil, pada mana-mana waktu yang bersesuaian.

“Semua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan, selaras nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung, serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah,” katanya.

Kelonggaran ini diumumkan hampir dua tahun selepas Putrajaya pertama kali mengenakan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara termasuk melibatkan kegiatan keagamaan.

Penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas pada 15 Mac 2020.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 April ini, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here